Cintailah Bahasa Kita

Wednesday, December 13, 2006

Pelincah Lidah (Tongue Twister)

Pelincah Lidah

"Grobak numplak gupak glepung".

Begitulah bunyi serangkap pelincah lidah atau 'tongue twister' dalam bahasa Jawa.

Tidak faham maknanya?

Beginilah terjemahannya dalam bahasa Melayu baku.

"Kereta lembu itu terbalik dan terlanggar tepung itu."

Indah bukan pelincah lidah dalam bahasa Jawa itu tadi?

Ini disebabkan oleh unsur rima, ritma dan pengulangan huruf-huruf konsonan (aliterasi) yang terdapat dalam pelincah lidah tersebut hingga seronok kita mendengarnya.

Merujuk kepada pelincah lidah itu tadi, huruf 'g' diulang sebanyak tiga kali iaitu pada huruf pertama suku kata 'gro', 'gu' dan 'gle' manakala huruf 'p' pula diulang dalam suku kata 'plak', 'pak' dan 'pung'.

Unsur pengulangan huruf-huruf konsonan inilah yang menghasilkan ritma yang indah.

Sungguh menghiburkan apabila kita sendiri tersasul sewaktu mengujarkan pelincah lidah ini lekas-lekas.

Bukan sahaja hati sendiri yang tergeletek.

Orang lain yang mendengar juga ingin ikut serta untuk menguji kemampuan mengujarkan pelincah lidah.

Dengan sekelip mata, perasaan bosan berganti ceria hanya dengan aktiviti semudah ini.

Pelincah lidah bukan sekadar bertujuan untuk menghiburkan hati mereka yang mengujarkan dan mendengarnya.

Lebih daripada itu, pelincah lidah mampu melatih lidah mengujarkan perkataan yang sukar disebut.

Bagi para pelajar yang mempunyai masalah pertuturan, pelincah lidah harus diamalkan.

Natijahnya, lidah akan menjadi fasih dan tidak mudah tersasul ketika menyebut perkataan yang mengandungi unsur aliterasi.

Sewaktu melungsuri lelaman internet, Cikgu temui banyak sekali koleksi pelincah lidah dalam bahasa Inggeris.

Tentu para pelajar biasa mendengar pelincah lidah yang termasyhur dan klasik ini iaitu "She sells sea shells on the sea shore. The shells that she sells are sea shells for sure."

Cikgu berasa terhibur membaca dan mengujarkan pelincah lidah berikut yang berasal daripada bahasa Indonesia.

"Kuku kaki kakekku kaku."

"Kutuku butuh tubuhku tapi tubuhku tak butuh kutuku."

"Orang Batak pakai batik batuk-batuk."

"Katak tergeletak di dalam kotak."

"Keledai makan kedelai di kedai."

Namun, koleksi pelincah lidah dalam bahasa Melayu yang dinaikmuatkan sungguh terhad sekali iaitu enam rangkap sahaja.

Apakah mungkin kita menganggap aktiviti pelincah lidah ini remeh dan tidak perlu diterokai?

Sedangkan, dalam sebuah lelaman internet yang Cikgu temui, terakam lebih daripada 2700 pelincah lidah dalam 107 bahasa, tidak termasuk bahasa Melayu.

Cikgu percaya kita juga pernah mendengar pelincah lidah dalam bahasa Melayu seperti "Goreng kerepek garing-garing letak atas piring" dan "Biawak buaya, buaya biawak."

Moga-moga, aktiviti menghasilkan pelincah lidah yang kreatif, mudah menarik perhatian, indah dan lucu dalam bahasa Melayu dapat dipergiatkan oleh para pelajar dan seterusnya dinaikmuatkan.

Lebih baik lagi jika koleksi pelincah lidah dalam bahasa Melayu dapat dibukukan.

Mungkin pada suatu hari, pertandingan mencipta dan mengujarkan pelincah lidah juga dapat dianjurkan untuk menyemarakkan penggunaan pelincah lidah dalam Bahasa Melayu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home